Tuesday, April 27, 2010

ISU SEMASA( MASALAH SISTEM KEAMANAN DI MALAYSIA)


SATU LAGI ……. ANTARA PENYELAMAT ATAU TAK TAHU BERKHIDMAT.
Bunuh Juvana: Khalid minta polis lindungi saksi

SHAH ALAM, 27 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta polis supaya melindungi dua saksi utama kes bunuh juvana, Aminul Rashid Hamzah, 15, (gambar) yang membabitkan empat pegawai polis, pagi semalam.

"Salah seorang saksi utama adalah anak polis sendiri, saya harap pihak polis beri jaminan dia ini dilindungi," jelas beliau di Pusat Khidmat Masyarakat di Parlimen Shah Alam, di sini pagi tadi.

Beliau turut meminta polis supaya tidak melakukan sebarang inisiatif untuk mengubah laporan kedua-dua saksi terbabit supaya selari dengan dakwaan polis sebelum ini iaitu mangsa ditembak kerana suspek kumpulan samun bersenjata.
"Jangan ada usaha-usaha nak mempengaruhi saksi ini supaya ubah atau mereka-reka cerita (supaya) sealiran dengan polis," jelas beliau sambil memberitahu media bahawa beliau sendiri bertanggungjawab membawa saksi utama terbabit pergi membuat laporan polis.

"Dengan laporan yang dibuat (oleh saksi utama) semalam, memadai dan jauh lebih benar berbanding kenyataan pihak polis di beberapa media."

Dalam pada itu, beliau mempertikai tindakan polis menembak Aminul Rashid di kepala dari belakang sedangkan kereta yang mereka naiki tersebut tidak dapat dipandu dengan laju akibat tayar bocor.

Disebabkan itu, beliau mempersoal tindakan polis memukul salah seorang juvana terbabit, sebelum juvana tersebut melepaskan diri.
Beliau turut mempersoal pertimbangan polis menembak juvana yang terbabit sedangkan mereka masing-masing tidak bersenjata.

"Polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam (sedangkan) di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis sebelum ini," ujarnya.

Bercakap pada sidang media yang sama, Yaakub Sapari, Exco Kerajaan Selangor yang juga Adun Kota Anggerik turut menyuarakan rasa kecewa dengan insiden yang membabitkan rakyat di Dun beliau.

Dengan berlakunya peristiwa tersebut, seakan mengulangi insiden tembak rambang yang membabitkan seorang ibu tunggal, Norizan Salleh, Oktober tahun lalu.
Manakala, Monaliza Mokhtar (gambar sebelah), Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 7 pula menganggap beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai suatu fitnah.

Beliau turut menjelaskan bahawa keluarga mangsa serta dua saksi utama sedang membuat pertimbangan akhir untuk mengambil tindakan kepada pihak berwajib yang terbabit memutar belit bukti sebenar berhubung juvana terbabit.

Beberapa media arus perdana sejak semalam melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan, dilaporkan tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang terbabit terlibat dalam kegiatan menyamun.
Tuntas dari tembakan di kepala yang membabitkan juvana dari Sekolah Menengah Seksyen 7, di sini tersebut, implisitnya mencalar kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan rakyat dan negara.



Thursday, April 15, 2010

MATLAMATKU

MATLAMAT PERJUANGAN ISLAM

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. katanya: Sesungguhnya seorang lelaki Badwi iaitu Arab desa datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya:

“Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.”

(Riwayat Muslim)

Allah SWT sendiri menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah s.a.w. kepada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dialah (Allah) yang telah mengutus rasulNya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkanNya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.” (al-Saff : 9)
Al-Maududi menyatakan:

“Sebagaimana halnya dengan din-din lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh ketaatan mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis.”

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalam konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai,melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:
Maksudnya: “Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah .”

Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela. Firman Allah s.w.t. Surah at-Taubah, ayat 40:
Maksudnya:

“Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimat Allah itulah orang-orang tinggi.”
Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:

“Dan perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tiada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya menjadi semata-mata untuk Allah.” (al-‘Anfal : 39)
Menurut Saiful Islam, maksud dari perkataan ‘perangilah’ adalah agar kekufuran tidak melata dan agar din Allah di atas segala -galanya, sehingga din al-Islam ada di mana-mana. TAKBIR!

Friday, April 2, 2010

BINGKAI KEHIDUPAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…….dan salam ukhwah fillah buat jiwa-jiwa yang sentiasa membersihkan hatinya dan ruh yang sentiasa hidup untuk perjuangan Islam.
Putaran masa begitu pantas meninggalkan kita, tahniah dan syabas buat semua sahabat yang telah menuju mardhatillah dan mencorak bingkai kehidupan dengan nuansa islam dan jihad di jalan Allah.Tiada kata yang paling indah melainkan Alhamdulillah….dan Allahu Akbar.
Buat sahabat-sahabat walau di mana berada , diriku sentiasa mendoakan kebahagiaan dunia dan akhirat .Hanya doa kukirimkan.Memori lalu akan menjadi kenangan yang tak pernah luput di sanubari.Semoga kita dipertemukan Allah di syurganya.
Jalan dakwah ini masih jauh dan panjang ,sama-samalah kita siapkan diri dengan azam untuk mengubah kebatilan ke arah kebenaran di bawah sinar iman. Semoga semakin matang dan dewasa diri kita, akan lebih menjadikan wawasan hidup kita semakin utuh dan thabat.
Moga kita terus bangkit menjadi tombak-tombak yang sentiasa melancarkan peluru yang dapat menyumbangkan ke arah kegemilangan Islam seterusnya meninggikan Kalimah Allah.
Akhirnya , bangunkanlah diri kita menuju redha Ilahi, walaupun sukar itulah jalan bahagia, semoga sahabat-sahabatku tabah, sabar dan sentiasa diberi pertolongan dari Allah.wallahualam.