Showing posts with label Siyasah. Show all posts
Showing posts with label Siyasah. Show all posts

Thursday, January 21, 2010

(PRK) KEWAJIPAN MAHASISWA ISLAM!

OLEH DATO' HAJI HARUN TAIB

Menegakkan Pemerintahan Islam

Salam Perjuangan kepada sahabat -sahabat yang sedang berjuang dalam PRK kampus masing-masing.Tegakkanlah Islam….moga terbina insan yang faham Agama.Lantaran itu sebarkanlah ini kepada sahabat-sahabat …agar obor perjuangan terus menyala-nyala.Moga tentera Allah bersama kalian.Allahuakbar!

Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :

“mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.
Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:
“Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.

Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.

Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam

Ramai di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:

“Para ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu. Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.
Pendapat mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.

Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal
Kita telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau kedua-duanya sekali?
Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Al-Ijma dan ‘aqal (logik). Antara lain Firman Allah Ta’ala:

Ayat ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang memerintah kita. Rasulullah s.a.w. antara lainnya ada bersabda:
Selain dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (Pemerintahan Islam).

Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.

Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam

Sebelum itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.

Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.

Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah 'ammah’ di masjid Al Nabawi.
Baiah 'ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.

Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam

Sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan baiah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.

Antara maksud lafaz baiah itu ialah:
“Aku memberi baiah kepad kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.
Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:
“Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)

Firman Allah lagi, maksudnya:
“Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)
Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:
“Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah: 283)
Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Kesimpulan dan Penutup

Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.

Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. “Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.

Wednesday, December 24, 2008

LAKARAN SIYASI

ASSALAMUALAIKUM….. Ini sedikit catatanku, dan sedikit pengalamanku….


Hari ini 24 Disember 2008,Badan Eksekutif Mahasiswa IAIN sebagai duta perubahan , telah menyerahkan gagasan ke Pejabat Gaburnor untuk menyuarakan pendirian mereka , iaitu supaya Anggaran Pendapatan dan Belanja Aceh dipantau agar bebas dari penyelewengan terhadap rakyat.Apa yang menarik ,mereka mempunyai keistimewaan di sini, iaitu bebas menyuarakan agenda perubahan di hadapan pengadilan dan penguasa ,hal ini berbeza suasana di Malaysia. Mahasiswa di kenakan AUKU...
Rentetan daripada peristiwa hari ini, saya juga sempat membaca tulisan As-syahid Imam Hassan Al-Banna yang bertajuk Antara Semalam dan Hari Ini. Di dalamnya dijelaskan mengenai Manhaj Al-Quran dalam Memperbaiki Masyarakat.Semuanya bermula di sini…

RISALAH NABI YANG AMANAH
Sejak 1370 tahun yang lalu, Muhammad bin Abdullah, Nabi yang ummi telah menyeru di atas kemuncak bukit Sofa, Mekah, maksudnya:

"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya saya adalah pesuruh Allah kepada kamu sekelian, Tuhan yang memiliki seluruh langit dan bumi, tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Berimanlah kamu dengan Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang telah beriman dengan Allah dan kalimahNya. Turutlah kamu sekalian kepadaNya moga-moga kamu mendapat petunjuk". (Al-A'raf :158)

Dakwah yang merangkum itu menjadi garis pemisah bagi seluruh alam. Pemisah antara zaman yang gelap gelita dengan zaman yang akan datang yang bersinar dengan cahaya dan bahagia abadi. Dakwah ini juga menjadi satu pengisytiharan yang terang dan nyata terhadap satu sistem yang baru yang disyariatkan Allah yang amat mengetahui dan amat bijaksana. Ia disampaikan oleh pesuruhNya Muhammad saw, pembawa khabar gembira dan pengingat manusia bersama kitabNya al Quran yang terang dan bersinar, juga bala tenteranya yang dahulu yang terdiri daripada orang- orang muhajirin dan ansar dan pengikut-pengikut jejak langkah mereka dengan penuh ihsan. Dakwah ini bukan satu ciptaan manusia, ia adalah ciptaan Allah yang tidak ada ciptaan yang lebih baik selain dari-Nya. Firman Allah, maksudnya,

"Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah al kitab (al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan al Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepadajalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaannya segala apa-apa yang ada di langit dan apa yang di bumi, ingatlah bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan".
(as Syura:52-53)



MANHAJ AL-QURAN DALAM MEMPERBAIKI MASYARAKAT.
Al Quran adalah penghimpun segala cara untuk membaiki masyarakat. Ia telah diturunkan ke atas Nabi saw. Ianya dibacakan kepada orang-orang mukmin dari masa ke semasa menurut keadaan, suasana dan sempena. Firman Allah, maksudnya.

"Demikianlah supaya kami perkuat hati mu denganNya dan Kami (menurunkanNya) dan
membacakanNya kelompok demi kelompok. Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa sesuatu yang ganjil) melainkan Kami datangkan kepada mu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya".
(al Furqaan:32-33).
Apabila sempurna wahyu itu diturunkan dan dipelihara di setiap dada dan pada mashaf-mashaf dalam masa lebih kurang dua puluh dua tahun, Allah telah kumpulkan di dalamnya penjelasan tiap-tiap perkara untuk umat ini. Dasar-dasar pembaikian dan pengislahan masyarakat yang sempurna yang didatangkan oleh al Quran itu berlegar dibawah qaidah-qaidah ini:
1) Ketuhanan (Rabbaniah).
2) Ketinggian jiwa manusia.
3) Peneguhan aqidah terhadap adanya pembalasan.
4) Pengisytiharan persaudaran di kalangan manusia.
5) Membangunkan seluruh laki-laki dan wanita serta pengisytiharan tanggungjawab dan
persamaan di antara keduanya serta penentuan tugas masing- masing secara detail.
6) Jaminan untuk masyarakat dengan penetapkan hak-hak kehidupan, pemilikan, kerja,
kesihatan, kebebasan, pelajaran, keselamatan individu dan penentuan sumber pendapatan.
7) Memelihara dua kehendak semulajadi; keinginan memelihara jiwa dan memelihara
keturunan dengan mengatur keinginan perut dan seks.
8) Keras dan kesungguhan dalam memerangi jenayah-jenayah berat.
9) Menguatkan kesatuan umat ini menghapuskan seluruh unsur-unsur dan sebab yang
membawa perpecahan umat.
10) Mewajibkan umat supaya berjihad dalam menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang didatangkan oleh sistem ini.
11) Menjadikan negara sebagai wakil kepada fikrah Islam dan negara bertanggungjawab
melindunginya. Negara juga bertanggungjawab untuk melaksanakan matlamatnya dalam
masyarakat yang khusus(Negara Islam) dan menyampaikan fikrah ini kepada seluruh
manusia.

Kesimpulannya segala bentuk pembaikan dalam masyarakat yang digariskan di atas perlulah dilaksanakan secara terancang iaitu kembali kepada manhaj Al-Quran.Semoga setiap amal islami kita di dunia ini diterima Allah....dan diredhainya.