Wednesday, January 14, 2009

FIKRAH SIYASI

FIQH IJTIHAD
OLEH: YUSUF AL-QARADHAWI………………

Al-Qaradhawi menekankan 5 jenis fiqh yang sepatutnya dimiliki oleh para pendakwah dan para ulama :-Fiqh Al-Maqasid,Fiqh Al-Aulawiyat,Fiqh Al-Sunnan Al-Kawniyah,Fiqh Al-Muwazanat dan Fiqh Al-Ikhtilaf.

Fiqh yang dimaksudkan di sini bukanlah fiqh yang difahami secara konvensional ,iaitu fiqh hukum hakam ,ataupun lebih sempit lagi fiqh yang berkaitan dengan hukum hakam ibadat seperti solat puasa ,haji dan zakat.

Fiqh yang dimaksudkan disini ialah ‘ ilmu ’ dan kefahaman mendalam terhadap sesuatu perkara .Berikut adalah huraian mengenai kelima-lima fiqh yang dipromosikan oleh al-Qaradawi :

1) Fiqh al-Maqasid
Bermaksud “objektif syariah”
Objektif syariah membawa maksud ,pemahaman terhadap objektif di sebalik pensyariatan hukum hakam syariah .Secara ringkasnya ,Syariah Islam diutuskan kepada manusia untuk menjaga kepentingan (maslahah) manusia dunia dan akhirat.Kepentingan atau maslahah terbahagi kepada 3 :-
- Daruriyat ( keperluan asasi )
- Haajiyat ( keperluan kehendak )
- Tahsiniyat ( keperluan pelengkap )
Daruriyaat ( keperluan asasi merupakan asasi merupakan keperluan yang paling utama dan yang paling ketara dipelihara oleh syariat.Daruriyaat telah dibahagikan kepada 5 kategori:-
1. penjagaan agama
2. penjagaan nyawa
3. penjagaan akal
4. penjagaan harta
5. penjagaan keturunan dan maruah

Kelima-lima unsur agama, nyawa,akal,harta dan keturunan merupakan unsur paling asasi di dalam kehidupan manusia.Jika unsur-unsur tersebut tidak dipelihara maka kucar kacir ataupun akan ditimpa kemudaratan sama ada di dunia mahupun di akhirat.Maka Syariat Islam yang diutuskan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk memelihara kelima-lima unsur tadi.
Berteraskan konsep penjagaan terhadap 5 keperluan asasi ( Daruriyat ) ini dan juga susunan keutamaannya, maka fiqh al-maqasid diilhamkan .Maka sebarang fatwa yang ingin dihasilkan ,ataupun sebarang ijtihad di zaman moden ini hendaklah mengambil kira konsep penjagaan kelima-lima daruriyaat tersebut.Sebarang aktiviti dakwah dan harakah juga hendaklah selari dengan ruh maqasid ini .Pendekatan ini lah yang dinamakan sebagai fiqh al-Maqasid oleh al-Qaradawi.

2)Fiqh al-Aulawiyaat
Fiqh al - aulawiyaat seakan sinonim dengan al-Qaradawi.Tidak keterlaluan jika dikatakan ,beliaulah pengasas fiqh al-aulawiyaat
Fiqh al-aulawiyaat bermaksud ,seni di dalam mendahulukan mana yang lebih utama berbanding dengan sesuatu yang kurang utama dan tidak utama.Ianya juga bermaksud mendahulukan sesuatu perkara penting berbanding perkara-perkara yang kurang penting dan tidak penting langsung.Ketiadaan seni seumpama ini menjadikan seseoran muslim dan pendakwah dan menghabiskan masa dengan sesuatu yang kurang penting ataupun tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting Ia juga menghabiskan tenaga dan usaha dengan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah ataupun kurang faedah dan meninggalkan perkara yang lebih berfaedah.Lebih dahsyat lagi,apabila ketiadaan fiqh al-aulawiyaat akan membawa kepada pembaziran waktu dengan perkara-perkara yang mempunyai impak yang kecil ataupun tiada impak serta meninggalkan perkara yang boleh memberikan impak yang lebih kepada Islam ataupun masyarakat.
Contoh fiqh al-aulawiyaat yang terdapat di dalam sirah Rasulullah s.a.w :
Rasulullah s.a.w. memulakan pengukuhan akidah dahulu di Makkah dan tidak memulakan dakwah dengan menghancurkan patung-patung berhala. Mendahulukan hokum-hukum berkaitan akidah dan pembentukan jiwa di Makkah sebelum memberikan pertanggungjawapan dari segi hokum hakam amali.
Fiqh al-aulawiyaat juga menekankan konsep mendahulukan yang usul berbanding furu’ .
Mendahulukan amalan yang wajib berbanding dengan amalan-amalan yang sunat.
Mendahulukan nas-nas yang qat’i berbanding nas-nas yang zanni.
Mendahulukan amalan-amalan yang berbentuk jama’ie dengan amalan-amalan berbentuk fardi.
Mendahulukan pengajian terhadap Usul Islam seperti akidah,ibadat yang fardu ,pemahaman al-Quran dan hadis sebelum menimba ilmu-ilmu cabang dan furu’.
Di dalam membicarakan persoalan ibadat pula ,al-Qaradawi telah mengambil idea-idea al-Ghazali berkaitan keperluan mengetahui tingkatan-tingkatan keutamaan amal ibadat .Beliau juga mencedok perbincangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah mengenai kepentingan dan keutamaan sesuatu amalan berdasarkan situasi ,keadaan dan tempat.Contohnya ,jihad menjadi amalan paling utama ketika sesebuah negara Muslim diserang oleh tentera kafir.Menuntut ilmu menjadi amalan paling utama di kala para ulama semakin berkurangan ,dan lain-lain lagi.
Antara keutamaan ( aulawiyaat ) yang telah dikemukakan oleh al-Qaradawi ialah :
I. Keutamaan kualiti berbanding kuantiti .( Sama ada di dalam beramal ataupun berdakwah) II. Keutamaan ilmu ke atas amal .( Beramal tanpa ilmu akan membawa kepada amalan yang tersilap )
III. Keutamaan menghayati Maqasid ( objektif ) sesuatu perkara yang hendak dilakukan berbanding zahir.
IV. Keutamaan berijtihad berbanding bertaklid semata-mata .
V. Keutamaan menumpukan kepada perkara –perkara yang dipersetujui berbanding perkara-perkara yang diperselisihkan .
VI. Keutamaan memudahkan dan meringankan berbanding menyusahkan dan membebankan ( di dalam fatwa ijtihad dan dakwah)
VII. Keutamaan mengislah diri individusebelum mengislah kerajaan dan sistem.
VIII. Keutamaan tarbiyah sebelum berjihad.
IX. Keutamaan mendepani musuh-musuh Islam berbanding perselisihan sesama umat Islam sendiri.
X. Keutamaan memerangi mungkar yang besar dan utama berbanding perkara furu’ dan remeh.
Al-Qaradawi melihat bahawa kehilangan fiqh al-aulawiyaat di persada gerakan Islam akan membawa kepada kepincangan di dalam gerak-kerja dakwah dan islah .Fiqh aulawiyaat menurut al-Qaradawi juga menuntut agar pendakwah bersatu mencari persamaan berbanding perbezaan ,dan mengenali musuh mereka .Perbezaan pendapat di kalangan pejuang Islam bukanlah alasan untuk mereka bersatu.
Al-Qardawi juga menegur sikap sesetengah umat Islam yang terlalu mementingkan perkara-perkara yang wajib .Beliau mengambil contoh betapa ada di antara umat Islam yang menghabiskan wang mereka untuk menunaikan haji dan umrah sunat dan tidak menginfaqkan harta mereka untuk tujuan dakwah ,propaganda Islam, penubuhan sekolah-sekolah Islam dan lain-lain tujuan yang lebih besar manfaatnya buat umat.
Beliau juga menegur sikap sesetengah golongan yang menitik beratkan persoalan sunat dan adab tetapi di dalam waktu yang sama meninggalkan persoalan yang lebih besar seperti membina kekuatan umat , cemerlang di dalam pelajaran , perniagaan dan kerjaya demi memartabatkan umat Islam.
3)Fiqh al-Sunan Kawniyyah
Keperluan untuk memahami peraturan alam yang telah diciptakan oleh Allah swt amat penting kepada para pendakwah .Kegagalan memahami peraturan alam ciptaan Allah swt akan membawa kepada usaha yang melawan arus dan berakhir dengan kegagalan.
Yang dimaksudkan dengan Fiqh As-Sunan adalah kefahaman terhadap undang-undang dan peraturan ( Al-Kawn ) ciptaan Allah di alam maya ini ,yang tetap dan tidak berubah dari masa ke semasa .Iaitu memahami realiti dan natijah sesuatu kejadian khususnya dalam peraturan politik dan kemasyarakatan .Ini berpandukan firman Allah :
“ Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah ,dan sekali-kali tidak ( pula ) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah .”
Surah Fathir ayat:43

Peraturan ini merupakan hokum alam atau sunnatullah yang berlaku dan berulang-ulang berlaku pada setiap zaman dan setiap waktu.Terdapat satu undang-undang yang tetap dan unsur sebab musabab dalam hokum –hukum alam .
Oleh itu wajib dikaji dan difahami seperti sunnah perubahan ,sunnah kemenangan golongan terdahulu,sunnah kegagalan mereka,sunnah kekalahan pada sejarah silam dan seumpamanya.
4)Fiqh al-Muwazanaat
Fiqh al-Muwazanaat ( ilmu di dalam membuat ) yang dimaksudkan al-Qaradawi adalah seni membuat pertimbangan yang rasional sebelum membuat sesuatu keputusan .Di dalam bidang ijtihad ,fatwa ,hokum dan dakwah pula ia bermaksud seni mempertimbangkan perkara-perkara berkaitan dan keadaan yang wujud sebelum mengeluarkan sesuatu ijtihad ,fatwa,hokum dan keputusan berkaitan dakwah serta harakah.3 dimensi utama dalam fiqh al-Muwazanaat adalah :
I. Mempertimbangkan di antara kepentingan –kepentingan (masaalih ) yang wujud akibat keputusan yang akan dibuat .Maksudnya,kepentingan manakah yang perlu diutamakan dan dijadikan pilihan di dalam membuat keputusan.
II. Mempertimbangkan di antara kemudaratan-kemudaratan (mafasid) yang perlu dielakkan .Maksudnya di dalam keadaan berdepan dengan pilihan yang kesemuanya mengundang kemudaratan dan tiada ruang keluar, maka semua kemudaratan itu dipertimbangkan. Kemudaratan yang paling besar impaknya perlulah dielakkan berbanding dengan yang lebih kurang impaknya.
III. Mempertimbangkan di antara kepentingan dan kemudaratan .Maksudnya , jika keputusan yang bakal diambil mempunyai 2 konsekuensi ,satu mengundang kebaikan dan satu lagi mengundang kemudaratan,maka yang lebih baik itulah yang mesti dipilih.
Fiqh al-Muwazanaat ini bukanlah perkara baru yang dicipta oleh al-Qaradawi .Para ulama terkemuka sebelumnya telah membincangkan konsep yang sama .Bezanya,mereka tidak menggunakan perkataan fiqh al-muwazanaat sahaja.Al-Ghazali di dalam kitab al-Mustafa ,al-Shatibi di dalam kitab al-Muwafaqaat, dan lain-lain ulama di dalam kitab Qawa’id al-Fiqhiyyah adalah di antara mereka yang sering menggunakan konsep-konsep fiqh al-Muwazanaat.
Ibn Taymiyah sendiri di dalam buku al-Siyasah al-Syar’iyyah telah membincangkan persoalan ini ketika membicarakan persoalan bekerja dengan pemimpin yang zalim.Menurut Ibn Taymiyah ,harus seorang yang soleh itu bekerja dengan pemimpin yang zalim demi mengurangkan kezaliman si pemimpin tersebut.
Al-Rashid memberikan contoh aplikasi fiqh al –Muwazanaat ini di dalam pengalaman gerakan-gerakan Islam di serata dunia.Antaranya ,pengalaman penyertaan gerakan Islam di Sudan ke dalam koalisi Sosialis Sudan.Antara yang lain juga koalisi gerakan Islamdi Syria dengan parti-parti bukan Islam di dalam barisan pembangkang dan lain-lain lagi.

Dalam bidang ijtihad hokum pula, al-Qaradawi telah mengeluarkan beberapa fatwa menggunakan neraca fiqh al-Muwazanaat,antaranya:-

a) Keharusan bekerja di dalam syarikat yang mempunyai urus niaga,riba,dengan syarat,sebahagian daripada gaji disedekahkan untuk menyucikan duit pendapatan.
b) Keharusan bekerja di bank konvensional demi menimba pengalaman untuk membuka dan memajukan bank-bank Islam.
c) Keharusan menulis di dalam akhbar-akhbar bukan Islam untuk berdakwah dan menyampaikan mesej Islam.

5)Fiqh al-Ikhtilaf
Fiqh al-Ikhtilaf membawa maksud di dalam menguruskan perbezaan antara umat Islam.
Melalui idea fiqh al- Ikhtilaf , al-Qaradawi telah cuba untuk membawa umat Islam menguruskan perbezaan mereka agar umat Islam tidak dilekakan dengan perpecahan dan percakaran sesama sendiri yang tidak menguntungkan .
Beliau menekankan bahawa Islam amat mementingkan kesatuan,dan perbezaan adalah sesuatu yang fitrah dan tidak dapat dielakkan .Menyeragamkan umat Islam di dalam semua perkara adalah mustahil dan bertentangan dengan fitrah manusiaitu sendiri.
Maka yang sepatutnya diusahakan ialah bagaimana menyatukan umat Islam di dalam kepelbagaian mereka.
Al-Qaradawi menyeru kepada beberapa perkara di dalam isi kandungan fiqh al-Ikhtilaf ,antaranya:-
1- Umat Islam hendaklah berlapang di dalam perbezaan perkara yang furu’ dan ranting.
2- Umat Islam hendaklah mengambil jalan moderat dan pertengahan di dalam beragama .Jalan ekstrem dan berlebihan akan membawa kehancuran.
3- Umat Islam hendaklah mengutamakan perkara yang dipersetujui berbanding perkara yang dipertelingkahkan.
4- Umat Islam diseru agar menghormati perkara-perkara yang diijtihadkan ,dan tidak taasub dengan pendapat ataupun ijtihad sendiri sahaja.
5- Umat Islam diseru untuk melihat pendapat-pendapat ulama secara adil dan menyeluruh .Sikap hanya mementingkan pendapat sendiri dan tidak melihat pandangan orang lain adalah dicela dan bertentangan dengan roh kesatuan.
6- Umat Islam hendaklah bersatu di dalam menghadapi masalah bersama mereka yang lebih besar seperti isu Palestin ,isu penjajahan ,isu Kristianisasi dan lain-lain.
7- Umat Islam diseru agar bekerjasama di dalam perkara-perkara yang disepakati dan bermaafan di dalm perkara-perkara yang diperselisihkan .
8- Umat Islam juga diseru agar tidak mengkafirkan sesama Muslim.

Fiqh al-Ikhtilaf yang dilontarkan oleh al-Qaradawi ini bertitik tolak dari kesedaran beliau agar umat Islam dapat memahami satu sama lain .
Beliau amat terkesan dengan perpecahan yang berlaku di antara para pejuang Islam dan gerakan-gerakan Islam.Maka fiqh al-Ikhtilaf menjadi solusi kepada persoalan tersebut.

Kelima-lima fiqh ini merupakan asas untuk menguasai fiqh al-waqi’ yang diperjuangkan oleh al-Qaradawi .Fiqh al-waqi’ adalah ilmu yang membincangkan bagaimana para ulama, para pendakwah dan gerakan Islam dapat memahami keadaan semasa ,faktor-faktor yang mengesani serta kuasa-kuasa yang sedang mendominasi perjalanan masyarakat.Ilmu ini melibatkan satu proses untuk mengenal pasti, menganalisis dan mentafsir isu,trend ,anjakan paradigma ,sentiment dan fenomena yang wujud dalam masyarakat.Dr.Yusuf Al-Qaradawi menyatakan bahawa tuntutan kontemporari fiqh asy-syariah hanya dapat dipenuhi dengan kefahaman yang baik terhadap fiqh al-waqi’.
Kepentingan fiqh al-waqi’ kepada para ulama dan juga para pendakwah tidak dapat dinafikan .Tanpa kefahaman mengenai realiti terhadap perubahan suasana dan tempat ,seseorang ulama akan mengeluarkan ijtihad di luar konteks , para pendakwah pula akan hilang arah di dalam menyingkapi golongan sasaran ,dan gerakan Islam mungkin akan terpinggir dari arus perdana dan kehilangan peluang untuk melakukan sesuatu perubahan. Namun berhati-hatilah dalam serangan pemikiran pada hari ini. SAMA-SAMA KITA FAHAMI DAN ISLAH FIKRIYAH SERTA JASADIAH……………bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.

No comments: