Friday, February 19, 2010

RISALAH USRAH

Risalah Usrah – Membina Keluarga Bahagia

Catatan buku Risalah Usrah, Solihin Abu Izzudin (Bina Insani)
Buat sahabat-sahabat yang dihormati ,ini sekadar perkongsian fikrah bersama….semoga berada dalam redha Allah..dan bahagia dunia dan akhirat.

1. Keluarga adalah madrasah terdepan untuk membangun peradaban.
2. Ajarilah anak-akan anda dengan ingat api, ingat neraka dan ingat dosa
3. Pentingnya anda mempunyai visi dan misi keluarga Islami.
4. Tugas mendidik anak adalah sebuah projek pelaburan (investment).
5. Misi keluarga Islami adalah menuju kejayaan (sukses) duniawi dan ukhrawi.
6. Sabar dan istiqamahlah di dalam ketaatan dan jalan dakwah.
7. Membangunkan keluarga adalah sebuah risalah mulia. Keluarga adalah muara tempat mengusung cita dan cinta, untuk membumikan idea-idea dan gagasan cemerlang, serta meraih kejayaan di masa hadapan.
8. Membangun keluarga tidak ubah seperti membangunkan istana. Ia memerlukan tenaga yang besar, waktu yang panjang dan lama. Ia memerlukan kesedaran, kesabaran, tanggungjawab dan keteguhan.
9. Peranan keluarga sangat penting untuk selalu menghadirkan kekuatan (energi) agar dapat melangkah penuh semangat dan istiqamah di jalan dakwah.
10. Ciptakan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Keluarga yang tenang, tenteram, dipenuhi dengan cinta, dihiasi akhlak mulia, dibingkai oleh taqwa dan selalu dinamis.
11. Kunci utama kejayaan sesebuah rumahtangga berada di tangan suami. Kerana suami adalah qawwam (pemimpin). Ia bertanggungjawab penuh dunia dan akhirat.
12. Kunci kedua adalah isteri. Ia berperanan menghadirkan cinta dalam rumah tangga dan membinta dirinya menjadi wanita yang solehah, yang qanitah (taat), dan hafizah (menjaga diri).
13. Isteri adalah pembantu suami, harus memiliki karakter yang kuat dan selalu istiqamahh dalam pelbagai keadaan.

14. Kunci ketiga adalah ikatan iman. Suami isteri bersinergi atas dasar iman dan dibangun di atas asas taqwa. Ruh dan kekuatan iman mesti ditumbuhkan, dikembangkan agar selalu tegar menghalau rintangan, cubaan dan hambatan. Bahkan mengubah tentangan dan hambatan menjadi peluang untuk meningkatkan kedewasaan dan menambah kebaikan.
15. Kunci keempat adalah tarbiyah zatiyah. Iaitu masing-masing membangun kesedaran untuk membina diri, mendidik nurani, menggali potensi dan mengoptimumkannya untuk memberi sumbangan (kontribusi).
16. Membangun istana yang kukuh memerlukan tenaga yang banyak dan waktu yang sangat lama. Tapi untuk meruntuhkannya cukup dilakukan seorang sahaja dalam waktu sekejap.
17. Kerja untuk meraih sebuah cita, membangun sebuah keluarga, menata sistem yang kukuh dan menegakkan aturan tadalah sebuah pekerjaan yang besar yang memerlukan tenaga dan kekuatan yang besar.
18. Ujian akan selalu mengingatkan manusia untuk menguji siapakah yang terbaik amalnya.
19. Salah satu cita-cita mulia kebahagiaan dunia adalah keluarga yang bahagia, menjadi penyejuk mata dan melahirkan pemimpin bagi orang yang bertaqwa.
20. Bangunkanlah keluarga anda agar kukuh dan mandiri, dinamis dan kreatif, inovatif dan produktif, siap beramal jamaie, melahirkan kader-kader dakwah yang unggul, mampu menjadi pelopor perubahan dan dapat memberikan keteladanan sosial yang akan menentukan wajah umat dan masyarakat.
21. Bangunkanlah keluarga anda agar berkomitmen menempuh jalan dakwah dan dapat tampil sebagai keluarga teladan dan ideal untuk menjadi contoh kepada masyarakat
22. Lihatlah kembali visi dan misi keluarga kita. Sudahkah kita memformat keluarga kita untuk menjadi keluarga yang produktif yakni keluarga yang menghasilkan generasi unggul, memiliki amal keunggulan dan dapat membuka pintu-pintu kebahagiaan.
23. Keluarga adalah permata yang berharga, oasis penyejuk jiwa, marhalah fasa pembentukan peribadi dan di dalamnya adalah 'makmal' amal.
24. Suami isteri yang melakukan pelaburan kebaikan dan amal soleh serta mencurahkan perhatian dan kasih sayangnya akan menuai balasan dari Allah berupa anak-anak soleh yang menyejukkan jiwa.
25. Keluarga adalah sebuah institusi yang di dalamya sangat diperlukan banyak sekali pengertian, pemahaman dan pengorbanan. Keluarga adalah tempat untuk mencurahkan perlindungan dan kasih sayang.
26. Memasuki alam keluarga itu seperti mengharungi samudera. Keluarga adalah rangkaian perjalanan panjang menuju pantai kebahagiaan di syurga yang diimpikan. Jadi, sudahkah anda membekali diri saat mengharunginya?
27. Persiapkanlah keluarga dengan sebaik-baiknya.
28. Lebah adalah binatang penuh ibrah. Keluarga muslim boleh mengambil pelajaran bagaimana lebah membangun tabiat berdikari dalam keluarga, dalam menentukan arah dan kebijakan untuk meraih tujuan.
29. Lebah hanya mengambil makanan yang halal dan tayyib.Maka jadilah keluaga islami yang hidup dari barang-barang yang halal.
30. Keluarga muslim harus berorientasikan pada memberi, memiliki human relations yang baik untuk membangun hubungan dan jaringan sosial di tengah masyarakat.
31. Setiap muslim harus memiliki misi yang jelas dalam membangun keluarga Islami agar wujud Rumah Ku Syurga Ku.
32. Fahamilah visi dan misi keluarga yang ingin anda bangunkan.
33. Keluarga merupakan tapak asas pertahanan, wadah pembinaan keperibadian, tempat menyemaikan kebaikan, sarana mengukir keimanan, wahana meraih ketaqwaan dan beraneka manfaat bagi kehidupan.
34. Peranan keluarga amat strategik untuk memgembalikan fitrah, menumbuhkan cinta dan kasih sayang sehingga keluarga benar-benar menjadi oasis spritual yang selalu dirindukan, yang mencerahkan dan mencerdaskan kehidupan.
35. Keluarga merupakan wahana penyempurnaan keimanan dan ketaqwaan. Pernikahan merupakan sebuah ikatan yang kuat (urwatul wutsqo), perjanjian yang agung (mitsaaqan ghalizha).
36. Pernikahan merupakan batu bata asas sebagai bahan bangunan yang baik untuk membangun keluarga yang soleh dalam masyarakat muslim yang soleh.
37. Tarbiyah Islamiyah adalah untuk merawat, menumbuhkan, mengembangkan, dan menjaga peribadi soleh dan solehah di dalamnya untuk meningkatkan kapasiti penghambaannya di hadapan Allah serta meraih kesempurnaan iman dan taqwa serta nikmat yang mententeramkan jiwa.
38. Taqwa kepada Allah merupakan asas setiap kebaikan. Allah akan menganugerahkan pada muttaqin berupa rezeki yang tak terduga, jalan keluar dari kesulitan, kemudahan dalam segala urusan, dicukupi segala keperluan, dihapuskan segala dosa dan ditutupi segala keaiban serta kesalahan.
39. Kebahagiaan itu bukan terletak pada cek atau kad ATM, bukan pada rumah yang megah, pasangan indah menawan, atau kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit. Kebahagiaan itu ada pada hati yang terhibur, jiwa bersyukur, kehidupan yang teratur, dan keimanan yang subur. Bahagia kerana kebenaran dan keyakinan, dada yang lapang dalam kebaikan, ketenangan jiwa, fikiran yang tenteram. Bahagia kerana boleh menikmati anugerah yang Allah berikan, sabar dalam berbagai keadaan dan bersyukur dalam kenikmatan, dan apapun yang sedang dirasakan.

40. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan : "Kalau mereka mengetahui kebahagiaan yang kami rasakan, tentu para penguasa akan merampasnya dengan kekuasaan dan pedang mereka. Apabila aku diasingkan, maka pengasingan itu merupakan rekreasi bagiku. Apabila aku dipenjara, maka penjara itu merupakan khalwat untuk bermesraan dengan Allah. Apabila kami dibunuh, maka pembunuhan itu jalan shahid menemui kekasihku Allah Rabbul 'Izzah."
41. Kunci kebahagiaan adalah keseimbangan timbangan. Seimbang antara aspek ruh, fikiran dan jasmani.
42. Kebahagiaan dalam keluarga akan terwujud jika para suami-isteri saling menyedari, menjalankan kewajipan, menunaikan hak-hak pasangannya, dan memerlakukan pasangan dengan makruf.
43. Rasulullah s.a.w bersabda : "Saling menghadiahilah kamu agar saling mencintai". Hadiah tidak mesti berupa harta, tetapi yang lebih berharga adalah berupa pandangan yang menyejukkan mata.
44. Rasulullah s.a.w bersabda : "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya"
45. Salah satu bentuk kebahagiaan dalam kehidupan adalah mempunyai kesamaan visi pandangan terhadap tujuan dan masa depan. Kesamaan visi ini akan memudahkan gerak dan alunan keluarga akan menjadi seumpama simponi yang indah, orkestra yang mempersona dan menghasilkan keindahan muzik yang mengesankan jiwa.
46. Membangunkan kesamaan visi harus dimulai dari aspek yang paling dasar yakni membersihkan hati dan menyatukannya. Kerana hati adalah kunci kebaikan yang hendak dibangunkan di atasnya.
47. Pendidikan hati adalah cara paling tepat untuk menyatukan visi agar dapat membahagiakan hati.
48. Pendidikan (tarbiyah) harus dimulai dengan pendidikan jiwa terlebih dahulu dan perhatian kepada hati harus tetap diberikan seiring perhatian terhadap akal.
49. Membangunkan keluarga adalah menyatukan dua kubu, mengkompromikan perbezaan-perbezaan, memadukan keragaman menjadi harmoni yang indah. Ibarat muzik atau orkestra yang dihasilkan dari aneka sumber suara yang berbeza namun menghasilkan sebuah alunan muzik yang mempersonakan.
50. Keluarga akan bahagia apabila keluarga itu memiliki visi yang jelas, dibangun di atas landasan taqwa, dipenuhi dengan aktiviti ibadah, dihiasi dengan akhlak mulia dan senantiasa menghasilkan kebaikan sehingga menjadi muara kerinduan seluruh anggota keluarga.
51. Memiliki visi yang jelas akan lebih mudah untuk membangun ikatan yang kuat, dapat digerakkan menjadi kekuatan yang hebat, produktif dan melahirkan beragam kebaikan.
52. Kejelasan tujuan adalah separuh dari kejayaan.
53. Keluarga akan bahagia bila berdiri kukuh di atas fikrah yang kuat dan jelas.

No comments: