Thursday, May 7, 2009

MUSLIHUN HARAKIYYUN

Peranan Ulama “muslihun harakiyyun”

Oleh :Us Haji Harun Taib

Mereka memahami bahawa Islam satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah.

Mereka ini berhempas pulas berusaha untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatNya di samping mengajak ummah manusia seluruhnya menganut agama Islam. Keterlibatan mereka di dalam kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanahair tidak dapat dinafikan lagi.

Mereka memberi kesedaran betapa perlunya ummah Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan lain-lain lagi.

Hampir keseluruhan negara ummah Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun demikian usaha mereka untuk menjadikan ummah Islam menghayati syariatnya dalam semua aspek belum mendapat kejayaan. Ini adalah disebabkan kerana negara-negara ummah Islam meminggirkan para ulama daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.
Mereka bukan sahaja dikecam oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulama yang boleh dipergunakan oleh pemerintah. Kalau golongan ulama yang pernah diginakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat mengerti yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam.

Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam – yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang dilaksana dan diterangkan oleh al-Quran dan as-Sunnah, pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu. Justeru itu para alim ulama hari ini haruslah memahami betul-betul sabda junjungan kita SAW yang maksudnya:

“Bandingan orang yang tegak lurus di atas landasan syariat dengan orang yang melanggarnya, saling tak tumpah seperti suatu kumpulan yang sama-sama memberi saham di dalam membeli/menaiki sebuah bahtera.

Satu golongan mendapat di bahagian bawah dan satu golongan lagi mendapat di bahagian atas. Kumpulan yang berada di bahagian bawah apabila menghendaki air terpaksa menaiki tingkat atas dan menyusahkan kawan-kawan mereka. Lalu mereka berfikir sekiranya behagian mereka di sebelah bawah ditembuskan senanglah mereka mendapat air (tidak payah ketingkat atas lagi) kalau sekiranya kehendak mereka dibiarkan terlaksana nanti semua mereka akan mati, tetapi sebaliknya kalau kehendak mereka itu disekat semua orang akan selamat”.

Betapa jelasnya hadith ini menerangkan kepada kita kalau sekiranya golongan perosak itu dibiarkan berkuasa sudah tentu agama kita dimusnahkan dan negara kita akan dihancurkan. Jalan selamat ialah para alim ulama haruslah bersatu menggembelingkan tenaga dan fikiran untuk menangani masalah politik tanahair. Mungkin orang akan mempersoalkan ‘apakah yang boleh dilakukan oleh para ulama’? Banyak sekali kerja yang boleh dilakukan oleh para ulama’ di dalam menangani keadaan yang ada sekarang ini. Antara lain:

1. Bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut dan aspek kepada semua lapisan masyarakat

2. Mengadakan perbandingan yang rapi dan terperinci antara Islam dan bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi, undang-undang, politik, pentadbiran dan sebagainya

3. Menghapuskan segala kekeliruan yang diperlakukan kepada Islam

4. Mentarbiah dan mendidik orang-orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan perjuangan untuk menegakkan Islam

5. Menyusun rapi segala tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan

6. Menjadi bintang kepada Islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dihalalkan oleh undang-undang.

7. Melibatkan diri dalam semua kegiatan kemasyarakatan dan politik tanahair

No comments: