Thursday, January 22, 2009

KE ARAH KEBANGKITAN MAHASISWA


SEJARAH KEBANGKITAN GERAKAN MAHASISWA ISLAM
Oleh:Zainulfaqar bin Haji Yaacob
(Bekas Aktivis Mahasiswa)
Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) bukanlah suatu gerakan biasa dalam membangunkan sesebuah negara bangsa (nation state). Aktivisme GMI sebenarnya berdiri atas neraca keadilan berdasarkan suluhan Islam. Dasar yang jelas ini meletakkan gerakan mereka merentasi perjuangan hak etnik, pemeliharaan sosial, pembangunan ekonomi, kepentingan politik dan sebagainya.

Di Afhganistan, Ahmad Niazi telah memimpin Juanan Muslim (kemudian dikenali sebagai Jamiyyah al-Islamiyyah) sehingga berjaya mendominasi Dewan Mahasiswa Universiti Kabul pada tahun 1972. (Zainulfaqar Yaacob, Latihan Ilmiah 2006:2). Lebih daripada itu, GMI turut menubuhkan Mujahidin (kemudiannya dikenali sebagai Taliban) demi mempertahankan Islam dan kedaulatan negara dari pencerobohan Soviet Union. Akhirnya, GMI berjaya menubuhkan sebuah Republik Islam Afghanistan yang aman. (Mohamad Ridhwan bin Alias, Latihan Ilmiah 2004/04)

Di Iran, Mahmood Ahmadinejad, mahasiswa Islam University Sains Dan Teknologi Iran (IUST) adalah antara pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang dikenali sebagai ‘nadi utama’ Pasukan Keselamatan Revolusi Iran (Sepah-e Pandaran-e Enghelab-e Islami) pada tahun 1976 demi menangani kebejatan sosio-ekonomi rakyat dan mengembalikan semula ketuanan Islam sebagaimana yang cuba digagaskan oleh AyatoLlah Seyyed Ali Khamenei. Natijahnya, Republik Islam Iran berjaya ditubuhkan pada tahun 1979 di bawah kepemimpinan ulama’. (Zainulfaqar Yaacob, Latihan Ilmiah 2006:1). GMI juga turut menyertai Perang Iran-Iraq pada tahun 1986 demi mempertahankan kedaulatan negara Republik Islam Iran tersebut. (Mohamad Ridhwan bin Alias, Latihan Ilmiah 2004/04).

Di India, Mohammad Ahmadullah Siddiqi telah menubuhkan Student Islamic Movement of India (SIMI) pada April 1977 demi menangani liberasime dalam masyarakat Islam di India dan menyimpan cita-cita untuk mendirikan Dar al-Islam. Kelahiran GMI ini merupakan suatu percikan inspirasi GMI Iran dan dianggap sebagai ‘sayap kanan’ kepada Jamaat-e Islamic Hind (JIH). Antara sumbangan besar SIMI ialah penerapan ‘kempen Khilafat’, pemurnian semula hak asasi rakyat berlandaskan Islam, melancarkan bantahan terbuka ke atas pemusnahan Masjid Babri, penetangan terhadap penyalahgunaan kuasa pihak polis dan kezaliman Sangh-Parivar (kumpulan pelampau agama Hindu) ke atas umat Islam Ayodha. (Zainulfaqar Yaacob, Latihan Ilmiah 2006:2).

Di Mesir, beberapa mahasiswa Melayu-Islam seperti Tuan Ahmad Ata’ullah Suhaimi, Tn. Hj Muhammad Fadhullah Suhaimi (tokoh Ulama’ Melayu Nusantara), Sheikh Salleh Masri, Idris Marbawi, Muhammad Nasir (tokoh Majelis Syura Muslimin Indonesia - MASYUMI) dan sebagainya adalah antara tokoh GMI pada pringkat awal sehingga tertubuhnya Persatuan Kebajikan Anak-Anak Jawa pada tahun 1918, kemudiannya Pertubuhan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) pada tahun1930 (kini dikenali sebagai Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir – PMRAM, 1972). Antara sumbangan besar mereka ialah penyertaan 64 aktivis mahasiswa dalam perang mempertahankan kedaulatan Mesir daripada pencerobohan Inggeris-Perancis-Israel pada tahun 1956 atas semangat persaudaraan Islam dan simpati. (Sejarah PMRAM, http://www.pmram.org/, 21 Julai 2006)

Di Malaysia, GMI wujud sejak sebelum merdeka lagi. Madrasah Gunung Semanggol dan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Perguruan Sultan Idris – UPSI) merupakan antara pentas awal aktivisme GMI. (Muhammad Ramadhan Fitri Elias, 7 Ogos 2004:1). Penulis melihat penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pada tahun 1956 lebih dianggap antara titik perkembangan wujud GMI di Malaysia. PMIUM menjadi salah satu pertubuhan yang cuba memberi kesedaran Islam (faham Islam) kepada masyarakat kampus.
Tahap perkembangan kesedaran di kalangan mahasiswa Islam ini menyebabkan mereka ini dikenali sebagai kelompok Islamis (Islamic group) yang sangat aktif dan bertanggungjawab dalam pelbagai perkara. Realiti ini meletakkan GMI di Malaysia juga bukan lagi sebuah wadah pinggiran dalam melestarikan kepentingan Islam di kampus semata-mata, malah GMI sudah menjadi salah satu entiti perjuangan rakyat Malaysia.

MEMAHAMI MAKNA GERAKAN MAHASISWA ISLAM
Pengertian GMI sangat luas konteks dan pemahamannya. Perkataan mahasiswa lahir dari dua suku kata iaitu maha yang membawa maksud besar atau berkuasa dan siswa merujuk pada kelompok penuntut atau pelajar di peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Hasil sintesis kedua-dua suku kata ini memberi makna yang lebih tinggi iaitu satu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan belajar di institusi peringkat tinggi, tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka.

Menurut Dr. Zuhdi bin Marzuki, mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independen Group. (Zainulfaqar Yaacob, Latihan Ilmiah 2006:20)

Profesor Feaur (Universiti Toronto) dalam bukunya The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement, aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah establish. Maka, mahasiswa dilihat sebagai pressure group yang anti-establisment. (Muhammad Abu Bakar, 1972:13)

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) mempunyai makna tersendiri. Mahasiswa Islam sebenarnya mewarisi sifat-sifat Ashāb al-Kahfī memandangkan usia mereka dalam lingkugan usia pemuda Islam yang berkesedaran sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran:-

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya
mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk; dan kami telah meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri lalu mereke berkata: Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.” (Surah al-Kahfi: ayat 13 dan 14)

Jumhur ulama’ dalam menafsirkan kalimah idhqāmū berpandangan bahawa maksud berdiri (idhqāmū) pada ayat di atas ini ialah berdiri di hadapan Raja Dikyanus (Decius) yang zalim dan menyombong diri. (Al-Quran Dan Terjemahannya, h.444). Penulis berpandagan semangat (spirit) para pemuda Ashāb al-Kahfī inilah yang menjadi inspirasi kepada mahasiswa Islam yang memilih untuk bersama-sama dengan Gerakan Mahasiswa Islam.

Selain itu, makna gerakan mahasiswa Islam ini sendiri bertitik tolak pada pengecualian menyertai Jihad bi al-Qatl (jihad perang) oleh Allah s.w.t demi mendalami ilmu pengetahuan, lalu mendidik masyarakat agar kembali mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:-
“Dan tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu pergi semuanya (ke medan jihad). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan itu antara mereka beberapa orang untuk memperdalamkan ilmu-ilmu pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan untuk kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga diri.”
Menurut Zaharuddin bin Abdul Rahman, ayat ini melambangkan mahasiswa termasuk dalam kelas menuntut ilmu pengetahuan dan sudah pasti peranan mereka dalam menyuntik kesedaran Islam dalam masyarakat jauh lebih berkewajipan berbanding kelompok yang kurang ilmu. (Zaharuddin Hj. Abdul Rahman, 16 Oktober 1999:3).

Penulis berpandangan bahawa sesuai dengan kapasisti mahasiswa Islam yang berada di tahap pengajian tinggi dan mendalami ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi dalam ilmu agama, maka sudah pasti tanggungjawab mereka ini sangat besar dalam menggerakkan kesedaran Islam di kampus dan dalam masyarakat.

Bertitik tolak pada beberapa inspirasi di atas ini, GMI hakikat lahir daripada kefahaman yang sahih berhubung Islam itu sendiri, bukan lahir akibat dipengaruhi oleh perubahan kondisi ekonomi atau sosial sebagaimana lahirnya Gerakan Mahasiswa menurut persepsi segelintir ahli sosiologi dan sejarawan.

Sesungguhnya kefahaman (ilmu) yang sahih akan melahirkan aktivis yang suci sifat mereka dan kuat iltizam mereka. Kekuatan (1)ilmu, (2)sifat, dan (3)iltizam ini mencetuskan kepemimpinan yang Qudus sama ada secara fardiy (individual) ataupun jama’e (kolektif).

Kefahaman yang sarat oleh sekelompok mahasiswa Islam ini telah membawa pada kesedaran sehingga mendorong kelompok mahasiswa Islam ini berusaha melakukan perubahan (islah) dalam kondisi kampus dan masyarakat amnya melalui pendekatan dakwah, tarbiah dan politik (siasah) sehingga lahirnya satu entiti tersendiri iaitu Gerakan Mahasiswa Islam (GMI). Realiti ini meletakkan Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) mempunyai pentafsiran tersendiri.
bersambung

No comments: