Wednesday, March 18, 2009

PEMIKIRAN IMAM HASSAN AL-BANNA


Kefahaman yang kita pelajari

Manhaj al-Imam al-Banna mengajar kita bahawa sebelum seseorang insan memulakan langkah pertama untuk mencapai sesuatu objektif, ia memerlukan kepada dua asas utama iaitu:

Pertama: Dia mestilah beriman (yakin) dengan objektif itu.

Kedua: Dia mestilah yakin berupaya dan mampu mencapai objektif yang diimaninya itu, dengan izin Allah. Ini disebabkan mengimani objektif dan berkeyakinan mampu mencapai objektiF tersebut, ialah dua syarat asasi bagi setiap amal yang serius.

Dalam hal ini,Rasulullah s.a.w. menunjukkan contoh dan teladan di sepanjang perjalanan hidup dan dakwahnya. Baginda amat tekun, tidak jemu dan bosan bekerja dan berdakwah walaupun Allah s.w.t. telah menjanjikan kemenangan kepada baginda.

Dengan keimanan dan tasawur beginilah al-Imam al-Banna telah memulakan dakwahnya, selepas beliau menetapkan objektif-objektifnya. Objektif-objektif tersebut, yang berpandukan manhaj Rasulullah s.a.w. sama ada taarif (peringkat memperkenalkan Islam), takwin (peringkat pembentukan peribadi muslim dan muslih) dan tanfiz (peringkat perlaksanaan dan pengorbanan dalam tugas memenangkan Islam), tidak dapat dicapai kecuali melalui tarbiyah secara perlahanlahan.
Objektif-objektif tersebut ialah:
1- Membangkit ruh keimanan
2- Mentarbiyah individu merangkumi pentarbiyahan ruh, jasad, akal dan perasaan
dan seluruh aspek kehidupan.
3- Membentuk keluarga muslim berasaskan tarbiyah ini.
4- Mewujudkan masyarakat yang individunya telah ditarbiyah dan melaksanakan
manhaj Islam dalam realiti kehidupan.
5- Menghidupkan kembali khilafah Islamiah yang telah lama kita rindui.
6- Memartabatkan kembali kedudukan identiti dan penguasaan di peringkatantarabangsa umat Islam sebagai sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi
manusia.

Semua objektif itu menuntut amal daripada akar umbi yang berterusan dan

tersusun untuk mengembalikan Islam sebagai pemimpin masyarakat. Usaha mengatur kembali kehidupan berdasarkan arahan, larangan dan syariat Allah bukan sekadar melalui kata-kata dan ucapan atau buku-buku, walaupun semuanya itu dituntut. Ceramah, pidato, buku dan makalah hanyalah satu daripada harakah, bukan keseluruhan harakah.
Dan katakanlah (wahai Muhammmad): "Beramallah kamu (akan segala yang perintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan. (At Taubah; 105)

Amal di peringkat akar umbi masyarakat yang tersusun dan berterusan ini hanya boleh dilakukan hasil dari dorongan jati diri dan keyakinan peribadi yang menjadikan keredaan Allah sebagai matlamat agung.

Dorongan dalaman itu bermula apabila seseorang muslim yang telah mendapat sedikit sebanyak sentuhan kebangkitan Islam. Kesannya ia akan merasa serba salah akibat daripada suasana bertentangan yang berlaku antara imannya dan realiti sekelilingnya.

Bertitik tolak daripada rasa kecintaan kepada agamanya, ia akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri dan saudaranya, juga menyumbang ke arah perlaksanaan syariat, kesatuan umat Islam, pembebasan bumi Islam yang telah dijajah, mengembalikan khilafah, memperbaharui kewajiban berdakwah dan amar makruf nahi mungkar, seterusnya ia berjihad di jalan Allah dalam segala kategorinya; kuasa, lisan dan hati yang (menggambarkan selemah-lemah iman). Semuanya itu perlu kepada kef'ahaman dan tarbiyah.

Oleh sebab itu, kandungan dakwah al-Imam al-Banna ialah menggerakkan semula umat daripada lamunan yang panjang, mengejutkan kembali minda umat agar mereka faham, menyentuh hati umat supaya mereka beriman, menghidupkan keinginan umat agar mereka berazam dan menggerakkan anggota umat agar mereka berkerja.

Dakwah ialah:
1. Amal fikri (usaha minda) yang menerangi akal.
2. Amal dakwi (usaha dakwah) yang mendorong perasaan.
3. Amal tarbawi (usaha pentarbiyahan) yang melahirkan peribadi Islam yang seimbang.
4. Amal ijtima'i (usaha kemasyarakatan) yang menyumbang menyelesaikanpermasalahan masyarakat dan menyebarkan kebaikan.
5. Amal iktisadi (usaha ekonomi) untuk membebaskan ekonomi negara daripada cengkaman barat dan riba.
6. Amal siyasi (usaha politik) untuk menegakkan pemerintahan negara yang melaksanakan hukum Islam.
7. Amal jihadi (usaha jihad) untuk membebaskan tanah milik umat Islam di serata dunia daripada penjajahan asing melalui manhaj Nabi s.a.w.

Perkara yang kita perkatakan ini perlu kepada penegasan bahawa Islam ialah risalah tarbiyah sebelum menjadi risalah tanzim dan tasyri', risalah nilai dan neraca sebelum menjadi risalah jihad dan perang. Oleh yang demikian, ia perlu kepada kefahaman.

No comments: