Friday, March 13, 2009

QA'IDAH REVOLUSI ISLAM



Oleh :Abul ‘A’la Al-Maududi
Rujukan : Proses Revolusi Islam


Dengan berpandukan kepada gagasan negara Islam, marilah kita pertimbangkan qa'idah untuk mewujudkannya. Seperti yang telah diterangkan pada permulaan lagi, keadaan ideologi, akhlak dan kebudayaan yang wujud dalam sesuatu masyarakat itu adalah menjadi ukuran bentuk negara yang sesuai kepada mereka.

Tidak mungkin sepohon pokok mempelam yang dari kecil hingga besar sebagai mempelam akan membuahkan mangga. Sesebuah negara Islam tidak akan wujud dengan tiba-tiba seperti mu'jizat (miracle); ia mesti dilahirkan melalui satu pergerakan permulaan yang berasaskan pandangan hidup, ideal, taraf akhlak, dan sifat-sifat serta semangat yang selaras dengan Islam. Pemimpin-pemimpin dan pekerja-pekerjanya mestilah dari orang-orang yang layak dari ukuran psikologi dan spiritual untuk dibentuk kepada sifat tertentu.

Tanpa penat-lelah, mereka mesti membentuk sikap mental dan sikap semangat akhlak yang sama kepada rakyat dan di atas asas kecenderungan akhlak dan intelek yang dibentuk, mereka mesti membina satu sistem pendidikan untuk melatih dan menggemburkan rakyat jelata ke corak kehidupan Islam. Sistem ini akan mengeluarkan saintis-saintis Islam, ahli falsafah Islam , ahli sejarah Islam , ahli ekonomi dan pakar kewangan Islam, juri dan politikus Islam pendeknya, di setiap bidang mesti ada orang-orang yang berideologi Isam dan telah betul-betul bersemangat, orang-orang yang berkebolehan membina satu sistem yang lengkap berkenaan cita-cita dan kehidupan praktik yang diasaskan atas prinsip-prinsip Islam dan mempunyai cukup tenaga untuk menentang pemimpin-pemimpin intelek dari golongan ahli-ahli fikir dan saintis-saintis yang tidak mempercayai Tuhan.

Dengan berlatar-belakangkan intelek, pergerakan itu mesti mengambil tempat menentang sistem yang salah di sekeliling kita di dalam dunia luas. Dalam perjuangan ini para penyuluh jalan mesti menunjukkan bukti kekuatan akhlaqnya dan kejujuran dengan menghadapi kecemasan, bahaya dan dengan mengorbankan harta dan nyawa. Mereka mesti melalui setiap dugaan dan muncul sebagai emas tulin yang setiap kali diuji tidak mengandungi bahan lain. Di masa perjuangan, mereka mesti menjadi tauladan baik dari kata-kata maupun perbuatan mengikut ideologi yang dituruti.

Ia mesti ternyata kepada semua yang mendampinginya bahawa negara berideologi yang tidak pentingkan diri sendiri, jujur, takut kepada Allah, menjamin dunia kepada keselamatan dan keamanan sejagat. Menerusi perjuangan sedemikian, semua unsur-unsur dalam masyarakat yang belum mempunyai kebenaran dan keadilan akan tertarik kepada pergerakan itu. Pengaruh dari mereka yang rendah mentaliti dan melalui tipu-helah akan dihilangkan oleh pergerakan serupa ini.

Satu revolusi mental akan melaungkan satu sistem negara serupa ini, hingga suatu masa tidak dapat ditukarkan lagi ke suatu sistem lain. Akhirnya akibat yang tidak dapat dielakkan dan secara natural, sistem negara serupa ini ditubuhkan mengikut asas dan lunas yang tersedia dan selepas sahaja sistem ini ditubuhkan, jawatankuasa dari peringkat tinggi di setiap pangkal dan peringkat untuk menjalankan sistem pendidikan dan latihan yang saya telah sebutkan di atas.

Inilah qa’idah asli untuk melahirkan revolusi itu dan mengatur sistem negara yang dipanggil Revolusi Islam dan negara Islam. Saudara semua orang terpelajar dan sejarah revolusi dunia sudah saudara maklumi. Saudara insaf bahawa sesuatu revolusi tertentu berkehendakkan satu jenis pergerakan, satu jenis pemimpin dan pekeja, dan suasana akhlaqnya.

Revolusi Perancis maukan satu jenis moral dan asas mental yang disediakan oleh pemimpin-pemimpin seperti Rousseau, Voltaire dan Montesqueu. Revolusi Russia dijayakan oleh idea-idea Marx, pimpinan Lenin dan Trotsky dan ribuan pekerja yang dijiwai dengan komunis. Nasional Sosialism Jerman dapat berakar di dalam moral, psikologikal dan kebudayaan yang telah dicipta oleh ahli-ahli teori seperti Hegel, Fichte, Goethe, Neizsche dan orang-orang lain termasuk Hitler.

Begitu juga Revolusi Islam cuma boleh diwujudkan apabila pergerakan beramai-ramai diusahakan pembentukannya mengikut teori dan konsep al-Quran dan contoh tauladan Nabi Muhammad (s.a.w.) yang mana dengan perjuangan kuat, akan mengubah intelek, akhaq dan psikologikal dan asas kebudayaan masyarakatnya. Adalah terkeluar dari fahaman saya bagaimana sesuatu pergerakan bersifat kebangsaan dan berlatar belakangkan pendidikan tidak sempurna seperti terlazim di kalangan kita, yang berasaskan Utilitarian, tanpa nilai moral dan opportunis, boleh membawa ke arah Revolusi Islam.
Saya tidak percaya kepada miracle (mu'jizat) yang dipercayai oleh Mr. Reynand (seorang Perdana Menteri Perancis di masa perang menyatakan di dalam suatu siaran radio beberapa hari sebelum kekalahan Perancis di dalam perang dunia ke I melawan nazi German: "Bahawa miracle (mu'jizat) saja yang boleh menyelamatkan Perancis dan saya percaya kepada miracle." ) bekas Perdana Menteri Perancis. Saya percaya cara yang digunakan untuk mendapat sesuatu kesimpulan akan memberi kesan kepada keputusan yang dilahirkan.

No comments: