Thursday, December 4, 2008

Fiqh Siyasah

MUQADDIMAH FIQH SIYASAH
Oleh: Yusuf Al-Qaradhawi
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Selawat dan salam semoga sentiasa diberikan Allah kepada Rasulullah, juga kepada ahli keluarganya, para sahabatnya serta seluruh umat manusia yang mengikut petunjuknya. Amma Ba’du:Inilah beberapa perbahasan penting tentang Fiqh Kenegaraan Dalam Islam. Ia adalah merupakan salah satu cabang ilmu fiqh yang telah lama diabaikan oleh kaum Muslimin dalam beberapa abad kebelakangan ini. Kaum Muslimin tidak lagi mengkaji dan mengeluarkan hasil-hasil ijtihad baru di dalamnya, sebagaimana mereka mengkaji cabang-cabang ilmu fiqh lain yang semakin luas dan besar bidang kajian dan perbahasannya, terutama fiqh ibadah.Pada zamannya, Imam Ibn Al-Qayyim (abad ke 8H) pernah mengeluh dan merasa sedih melihat kejumudan yang melanda para Ulama dan Fuqaha’.
Kegagalan mereka untuk berinteraksi dengan permasalahan semasa menjadikan para pemimpin pada zaman itu terpaksa mencari jalan penyelesaian di luar syariat Islam bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah politik dan kenegaraan yang menyeleweng. Peristiwa yang berlaku pada zaman Ibn Qayyim itu merupakan peristiwa pertama masuknya hukum-hukum ciptaan manusia yang mengetepikan kedudukan hukum syariat Islam.Ulama-ulama jumud yang tidak mahu menerima sebarang perubahan itu ternyata muncul kembali pada abad ke 15H ini.Mereka hidup di abad ke 15H tetapi cara berfikir mereka serupa dengan nenk moyang mereka yang telah mati berabad-abad lamanya. Sedangkan seluruh bidang kehidupan pada zaman ini telah jauh berubah dibandingkan dengan kehidupan pada abad ke 8H. Mereka lupa bahawa Imam Syafie pernah merubah pandangan mazhabnya dalam masa yang singkat, sehingga mazhab beliau terbahagi kepada dua iaitu mazhab lama (Qadim) dan mazhab baru (Jadid). Pengikut mazhab Abu Hanifah pula berselisih faham dengan pendapat pandangan hasil mazhab Hanafi pada satu pertiga daripada mazhab, dan mereka berkata: “Seandainya Imam Abu Hanifah menyaksikan perubahan seperti yang kami lihat, tentu beliau pun akan berpendapat serupa dengan kami atau lebih lagi”. Dan Imam Ahmad Ibn Hanbal pernah mengeluarkan 7 pendapat untuk satu masalah ekoran keadaan yang berubah-ubah.Sekarang, kita melihat sebahagian orang yang menceburkan diri dalam bidang fiqh dan dianggap sebagai tunjang utama kebangkitan Islam berkata: “Konsep syura dalam ajaran Islam hanya merupakan satu isyarat yang tidak jelas, sebab itu ia bukanlah merupakan satu ketentuan yang mutlak. Pemimpin berhak untuk meminta pendapat ahli syura untuk mencari idea, kemudian dia boleh membuang pendapat mereka yang menggunakan pendapatnya sendiri! Bukankah dia yang memilih, menetapkan dan membubarkan majlis syura ikut kehendaknya?”Kita juga melihat sebahagian orang menolak konsep parti majmuk di bawah naungan negara Islam.
Sebahagian yang lain menolak konsep pilihan raya bagi memilih seorang pemimpin negara atau wakil-wakil rakyat untuk Majlis Permesyuaratan dan Dewan Perwakilan. Ada pula yang menolak Sistem Pemilihan yang menggunakan Suara Majoriti, atau menolak pembatasan masa bagi pemimpin negara dalam jumlah tahun tertentu. Bahkan ada yang mengatakan bahawa seluruh perkara yang ditimbulkan oleh Sistem Demokrasi adalah mungkar dan wajib diperangi!Lebih dari itu, ada pula yang mengingkari Hak kaum wanita untuk mengundi dalam pilihan raya, apa lagi Hak mereka untuk dipilih sebagai anggota majlis perwakilan atau anggota majlis yang lain. Jika pendapat tersebut diamalkan maka umat ini telah mengabaikan separuh daripada potensinya. Begitu pula, ada pendapat yang melarang orang-orang yang bukan Muslim untuk mengundi, diundi ataupun turut serta dalam sebarang bahagian dalam pentadbiran kerajaan. Bahkan ada pula yang mengatakan: seseorang Muslim tidak boleh mencalonkan dirinya sendiri menjadi anggota Majlis atau yang lainnya, sebab dengan yang demikian ia telah meminta kekuasaan untuk dirinya, dan kekuasaan tidak boleh diberikan kepada orang yang memintanya.Golongan manusia seperti di atas sebenarnya sangat kecil bilangannya dengan majoriti Umat Islam yang kini sedang menyambut kebangkitannya. Tetapi frekuensi suara mereka agak tinggi kerana dibantu oleh kekuatan yang membenci kebangkitan Islam. Kekuatan tersebut memberikan hembusan-hembusan bantuan kepada mereka di atas pentas tertentu dengan tujuan-tujuan tertentu. Di sebalik ulama yang jumud ini terdapat segolongan manusia yang mengingkari kewujudan negara Islam yang memerintah di bawah undang-undang Allah. Mereka memisahkan agama dengan politik sejauh-jauhnya dan berpendapat bahawa tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik dalam agama.Mereka memperlakukan Islam di Timur sebagaimana mereka memperlakukan Kristian di Barat. Tetapi Islam tidak sama dengan Kristian, masjid tidak serupa dengan gereja, dan sejarah Ulama-ulama Islam di sini tidak serupa dengan sejarah pemimpin gereja di sana. Islam tidak kenal perkataan: ‘Tinggalkan apa yang menjadi milik Kaisar untuk Kaisar dan apa yang menjadi milik Tuhan untuk Tuhan’.
Sebaliknya, Islam mengisytiharkan bahawa Kaisar dan seluruh apa yang dimilikinya adalah milik Allah, Tuhan Yang Esa dan Satu. Islam tidak pernah memusuhi Ilmu pengetahuan, pemikiran, kreativiti, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Kristian terhadap ilmuwan Barat. Islam juga tidak pernah mendirikan mahkamah perisikan yang menggerunkan, seperti yang pernah didirikan pemimpin kristian bagi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atau menyiksa seluruh para sarjana, ilmuwan dan pemikir ilmiah yang berfikiran bertentangan dengan wawasan kristian.Kita dapati bahawa golongan ini ingin menyingkirkan Islam dari memainkan sebarang peranan dengan cara mengenepikan kekuatan Islam. Perkara yang sama telah mereka lakukan kepada agama kristian sehingga agama tersebut berdiri dengan lemah tanpa sebarang kekuatan, sama ada dalam pentadbiran negara ataupun fungsi-fungsi keagamaan yang biasa.Kita dapati kaum tersebut berusaha untuk keluar daripada kesepakatan umat yang sepanjang sejarahnya meyakini bahawa Islam adalah akidah dan syariah, agama dan negara, ibadah dan kepimpinan serta solat dan jihad. Rasulullah saw merupakan pemimpin pertama bagi negara Islam dan para khalifah setelah baginda mengikuti ajaran-ajaran dan langkah baginda. Pemimpin pemimpin negara Islam merupakan wakil Rasulullah dalam menegakkan syiar agama dan politik keduniaan.Ramai di antara orang yang sekularis, sama ada golongan kanan yang liberalis mahupun golongan kiri yang komunis, mengiktiraf kehebatan Islam. Tetapi mereka tidak pernah mahu tunduk kepada hukumNya, tidak mempedulikan perintah dan laranganNya dan tidak sudi merujuk kepada Quran, dan Sunnah RasulNya. Jika mereka merujuk kepadaNya pun nescaya mereka akan mengubahkan kedudukan ayat-ayatNya dan menjadikan isi kandungan Quran dan Sunnah tunduk mengikut selera mereka. Perbuatan seperti itu mengambarkan kepalsuan iman mereka terhadap perilaku ahli iman sejati seperti yang difirmankan Allah:Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasulnya agar Rasul menghukum di antara mereka ialah, “Kami dengar dan Kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (An-Nur:24:51)Mereka mempersendakan hukum yang syumul, sedangkan konsep tersebut dipegang teguh oleh kaum muslimin sejak berkurun berzaman. Mereka menciptakan istilah ‘Islam Politik’ bagi setiap aktiviti politik yang dilakukan oleh kaum Muslimin. Seakan-akan terdapat beberapa jenis Islam: Islam Rohani, Islam Pemikiran, Islam Sosial, dan Islam Politik.
Sebaliknya Islam merupakan konsep yang satu dan menyeluruh, sama ada pada bentuk dasarnya, pada aspek-aspek pendukungnya atau pada sumber ajarannya.Di antara kaum sekularis yang sentiasa berusaha untuk mencari kelemahan Islam dan kaum yang jumud yang tidak mahu menerima hakikat perubahan semasa, terdapat aliran al-Wasatiyah al-Islamiyah (Bersederhana). Aliran inilah yang menggali ajaran Islam daripada sumber asal yang jernih dan percaya bahawa Islam adalah kehidupan yang sempurna bagi individu, keluarga, masyarakat, dan negara. Aliran ini melihat kepada Islam dengan satu pandangan kemudian melihat kepada konteks zaman dengan pandangan lain. Ia menggabungkan antara ajaran lama yang bermanfaat dengan nilai baru yang baik dan berubah-ubah. Ia juga menyeru kepada pemulihan akal, pembaharuan pemikiran, ijtihad agama, dan penerokaan dunia. Mereka mengambil sebahagian daripada sistem-sistem terbaik yang dipraktikkan pada zaman ini dan beranggapan bahawa jika demokrasi dibersihkan daripada unsur yang meragukan serta dihiasi dengan nilai-nilai dan hukum Islam ia merupakan satu sistem yang paling hampir dengan prinsip Islam.

No comments: