Sunday, December 21, 2008

laman tarbiyah

Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini
Abdullah Nasih Ulwan

Sebelum saya membincangkan tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemuda-pemudi hari ini dan penyelesaiannya, eloklah kiranya saya memperkatakan secara ringkas tentang pembinaan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap pemuda, jugapembentukan dan persediaan di dalam menghadapi cabaran-cabaran ini. Tidakkah para sahabat Rasulullah s.a.w kebanyakannya adalah pemuda? Saya memperkatakan perkara ini supaya kita mengetahuinya.

Wahai para pemuda- sejauh manakah perhatian yang diberikan oleh baginda terhadap pemuda dan ketelitiannya serta prihatin baginda s.a.w di dalam membentuk dan mempersiapkan mereka... sehingga mereka mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang dengan keimanan, kesabaran dan keteguhan iman... Dan sehingga mereka bangun memainkan peranan menyampaikan risalah Islam ke seluruh alam buana dan mendirikan kerajaan Allah di atas muka bumi ini.

Pembinaan Rasulullah s.a.w terhadap pemuda dan menyediakan diri mereka untuk mengharungi kehidupan.

Kepada kamu -wahai pemuda- pemudi, saya kemukakan beberapa pesanan Rasulullah s.a.w mengenai persediaan ini agar kamu mengetahui bagaimana cara pembinaan yang dilakukan.
Di dalam menyediakan pemuda supaya mentaati Allah, mengabdikan diri kepadaNya dan
menjauhi segala perkara yang dilarang... Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam hadis
yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di hari yang tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya... pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhambakan diri kepada Allah.

Di dalam menyeru pemuda supaya mengambil segala kesempatan untuk membentuk peribadi mereka samada dari sudut rohani, jiwa, jasmani, mental dan akhlak... baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Hakim:

Maksudnya: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dankayamu sebelum miskinmu.

Di dalam memelihara jiwa pemuda daripada terpesong, terseleweng dan menjaga kesuciannya dengan berkahwin seperti yang telah di syariatkan oleh Allah kepada umat Islam... Baginda s.a.w telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jamaah Maksudnya: Wahai para pemuda, sesiapa dari kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin,hendaklah dia berkahwin kerana ia dapat menjaga pandangan dan memelihara kemaluan.

Di dalam memuhasabah tanggungjawab pemuda di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak...
baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi:

Maksudnya: Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya.

Para Sahabat Nabi Adalah Pemuda

Di dalam istiqamah pemuda di atas manhaj Islam dan berterusan di dalam ketaqwaan
kepada Allah... baginda s.a.w telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).

Di dalam wasiat Rasulullah s.a.w kepada Umat Islam supaya menjaga pemuda dan
menjelaskan tentang kelebihan mereka berbanding dengan orang-orang tua... baginda s.a.w bersabda:

Maksudnya: Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutus aku membawa agama Hanafiah lalu para pemuda bergabung dengan aku dan orang-orang tua menentang aku.

Itulah asas-asas terpenting kepada pembinaan peribadi pemuda dan masyarakat. Tidak syak lagi bahawa matlamat daripada pembinaan dan persediaan ini adalah supaya pemuda terbentuk dengan pembentukan yang sempurna dari aspek rohani, akhlak, mental, jasmani dan jiwa... serta seluruh aspek yang menyempurnakan keperibadian mereka.

Dengan pembentukan ini para pemuda akan lebih berkemampuan untuk menghadapi berbagai cabaran, melaksanakan tanggungjawab dan berpegang teguh dengan dasar-dasar Islam. Mereka tidak akan terseleweng, merasa lemah, terpesong bersama bawaan angin fitnah, menyerah kalah kepada tipu daya kefasadan, berputus asa dan lemah semangat. Begitu juga mereka tidak akan tergelincir ke dalam lubang keruntuhan dan penyelewengan.

Begitulah, pemuda muslim akan kekal sebagai seorang yang sihat, teguh, beriman, berjihad menyampaikan risalah Islam, menunaikan amanah dan bekerja untuk Islam... sehingga diadimatikan oleh Allah dalam keadaan yang mulia atau dia mengadap Tuhannya sebagai seorang syuhada’.Memang benar mereka adalah pemuda. Pemuda yang sedang mengecapi nikmat kemudaannya, menjauhkan diri dari kejahatan mata, lari daripada kebatilan kaki-kaki mereka, beribadah (‘abid) di waktu malam dan pejuang di siang hari. Mereka berjihad dijalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Mereka diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan diri sesama manusia kepada perhambaan diri kepada Allah, Tuhan sekelian alam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kedurjanaan agama-agama yang lain kepada keadilan Islam.

Adakah kamu mengetahui -wahai para pemuda- panji-panji Islam tidak akan dapat ditegakkan di dalam jiwa manusia sejagat, kekuasaannya tidak akan meluas ke seluruh pelusuk bumi dan dakwahnya tidak akan tersebar ke seluruh alam kecuali melalui tangan-tangan pemuda yang telah ditarbiah di madrasah Rasulullah s.a.w dan keluar daripada intitusi yang lengkap itu?!!

Rasulullah s.a.w, ketika wahyu di turunkan kepada baginda, umurnya baru menjangkau
empat puluh tahun. Ia merupakan peringkat kesempurnaan pemuda. Abu Bakar lebih muda daripada baginda s.a.w sebanyak tiga tahun. Umar bin al-Khattab, ketika memeluk Islam berumur dua puluh tujuh tahun. Usman bin Affan lebih muda daripada Rasulullah s.a.w.manakala Ali pula adalah yang termuda di kalangan mereka semua. Begitu juga Abdullah bin Mas’ud, Said bin Zaid, Abdul Rahman bin Auf, Bilal bin Rabah, Mus’ab bin ‘Umair dan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus lagi dari kalangan para sahabat semuanya adalah pemuda.

Para pemuda generasi pertama dan orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka adalah orang-orang yang telah menjulang bendera “dakwah kepada Allah” dan pengibar panji-panji jihad... lalu Allah memberikan kemenangan yang besar dan tertegaknya daulah Islamiah melalui tangan mereka. Kamu semua mengetahui -wahai pemuda-, bahawa tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam, Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam adalah melalui tangan para pemuda.

Semuanya ini sempurna dalam tempoh masa 35 tahun di zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin. Pada tahun-tahun berikutnya kerajaan Islam telah meluas dan kekuasaan mereka tersebar hingga sampai ke Sind, sebahagian besar India, Turkistan dan sehingga ke sempadan China di Timur. Ia juga telah memasuki Sepanyol yang terletak di sebelah Barat Eropah. Kekuasaan Islam sentiasa meluas ke Timur dan barat, Utara dan Selatan sehingga menguasai sebahagian besar permukaan bumi. Khalifah kerajaan Abbasiah, Harun ar- Rasyid telah menggambarkan keluasan dunia Islam. Beliau telah berkata kepada awan yang bergerak diatasnya tetapi tidak menurunkan hujan kepadanya: “Turunlah di mana sahaja kamu mahu. Sesungguhnya hasil keluaranmu akan di bawa kepada kami”.

Semuanya tidak akan tercapai kecuali dengan keazaman, pengorbanan, jihad dan keinginan untuk syahid para pemuda.

Ya Allah! Sediakan bagi umat ini para pemuda dan pemudi yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang yang terdahulu daripada mereka... Semoga merekalah orang-orang yang akan mengembalikan kekuasaan daulah Islamiah, kemuliaan dan keagungan bagi umat Muhammad ini.

Selepas pendahuluan ini saya akan membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para pemuda kita hari ini satu persatu, kemudian saya akan menjelaskan cara penyelesaian yang positif untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut. Di dalam rumusan jalan penyelesaian, saya akan membincangkan secara ringkas peranan dan tugas mereka di dalam mendirikan masyarakat Islam. Antara cabaran pemuda masa kini adalah:

Pertama : Cabaran syaitan dan hawa nafsu.
Kedua : Cabaran serangan pemikiran.
Ketiga : Cabaran keruntuhan akhlak.
Keempat : Cabaran kerajaan sekular.
Kelima : Cabaran lemah semangat bekerja untuk Islam.

Dengan izin Allah kita akan membincangkan satu-persatu dengan panjang lebar. Begitu juga jalan penyelesaiannya bersumberkan ajaran Islam dan petunjuk al-Quran. Hanya Allah matlamat kita. Semoga Dia menjadikan kerja-kerja ini ikhlas keranaNya. Faktor yang boleh menyesatkan adalah banyak. Di antaranya ada yang bersifat dalaman seperti nafsu ammarah yang menyeru manusia kepada kejahatan dan keinginan hawa nafsu yang hina. Di antaranya juga ada yang bersifat luaran seperti hasutan syaitan dari kalangan jin dan manusia, fitnah harta, wanita dan kemegahan pangkat. Di dalam perbincangan ini saya akan memberi penumpuan kepada faktor-faktor kesesatan dan penipuan yang paling jelas. Ia boleh diringkaskan kepada tiga faktor:

1. Hasutan syaitan yang menggoda.
2. Bisikan hawa nafsu ammarah.
3. Dorongan hawa nafsu.

Saya simpulkan kepada tiga faktor kerana ia merupakan asas kejahatan dan fitnah serta punca kefasadan dan kerosakan di zaman kefasadan dan keruntuhan ini. Ditegaskan di sini bahawa apabila pemuda hari ini melawan hawa nafsu dan syaitan dengan kemantapan iman, mengikut kebenaran, kekuatan keazaman dan berpegang teguh dengan Islam, maka tidak syak lagi dia akan menjadi mukmin yang abrar dan muttaqin yang terbaik... bahkan dia akan menghadapi segala fitnah yang berlaku dan kefasadan luaran dengan kekuatan pengorbanan dan pendirian yang teguh tanpa terkesan dengan suasana fasad dan keinginan hawa nafsu………bersambung.

No comments: